Soal Jawab Agama Siri 100 (Ibu Dan Anak Susuan, Anak Angkat,
Hubungan Bekas Suami Dan Isteri Dan Lain-lain Lagi)
Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi
Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi
Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti
baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati
Allah,Soal Jawab Agama Siri 100 adalah membicarakan persoalan ibu dan anak
susuan, kedudukan anak angkat, perhubungan di antara bekas suami dan isteri,
tanggungjawab anak lelaki setelah berkahwin dan ciri-ciri untuk menjadi isteri
yang solehah.
781. Soalan :
Saya mempunyai tiga soalan mengenai ibu susuan.
1. Sekiranya seorang
wanita menjadi ibu susu kepada seorang bayi perempuan, apakah bentuk hubungan
yang terjalin antara bayi perempuan tersebut dengan wanita tersebut, suami
wanita tersebut dan antara bayi perempuan tersebut dengan anak-anak wanita
tersebut. Bagaimana dengan batasan aurat di antara mereka?
2. Status anak susuan
berbeza daripada anak angkat. Bagaimana batasan aurat seorang anak angkat
lelaki/perempuan dengan keluarga angkatnya? Sekiranya seseorang itu tidak
mengetahui tentang statusnya sebagai anak angkat, dia berada dalam sesebuah
keluarga seperti biasa sehinggalah diberitahu ketika dia sudah dewasa. Setelah
mengetahui status sebenar, apakah tindakan yang perlu dilakukan dari sudut
keterbatasan aurat?
3. Bolehkan suami
kepada wanita susuan menjadi wali pernikahan kepada anak susuan?
Jawapan
1. Bayi perempuan
tersebut akan diiktiraf dalam Islam sebagai anak susuan dan mahram kepada
wanita itu, dan wanita itu pula akan diiktiraf dalam Islam sebagai ibu susu
kepadanya. Hasil dari itu akan terhasil ikatan pengharaman kahwin secara kekal
(buat selama-lamanya) di antara suami susu dan anaknya.
Susuan bagi bukan bayi
tidak akan menghasilkan ikatan mahram kekal ini, demikian menurut Majoriti
mazhab. Syarat untuk sabit hubungan mahram melalui susuan itu adalah susu
ibu itu mesti sampai ke perut bayi samada melalui mulut dan hidung,
manakala jika melalui telinga, suntikan dan dubur maka ia tidak di kira. (Rujuk
Al-Muhazzab, 2/156; Tabyin al-Haqaiq, 2/185 ; Al-Ikhtiyar, 3/120 ; Syarh
Qanun al-Ahwal al-Syakhsiyyah, Dr As-Sartowi, ms 104).
Apabila sabit mahram
susuan, maka haram kumpulan berikut haram berkahwin secara kekal dengan bayi
perempuan itu (Rujuk Bidayatul Mujtahid, 2/33):-
i- Suami wanita susuan
kerana ia di anggap ayah kepada bayi itu.ii- Ayah serta datuk kepada ibu
susunya.iii- Anak-anak lelaki kepada ibu susunya.iv- Cucu-cucu lelaki ibu
susunya.
Batasan aurat adalah
seperti adik beradik kandung.
Dalil bagi kedudukan
di atas adalah dari firman Allah SWT maksudnya : "(Antara yang haram
kahwin adalah) Ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan adik-beradik susuan
kamu" (Surah An-Nisa ayat 23).
Dalil ini mengharamkan
kahwin kepada seluruh usul dan adik beradik. Juga Nabi SAW bersabda maksudnya
:"Apa yang jadi haram disebabkan susuan adalah seperti apa yang diharamkan
kerana keturunan"
2. Islam tidak
menggalakkan konsep anak angkat tanpa sebarang ikatan yang diiktiraf Islam, ia
jauh berbeza dengan anak susuan, anak angkat adalah dikira sebagai orang asing
di dalam rumah, maka semua batasan aurat perlu di jaga sebagaimana wanita di
luar rumah. Ia adalah satu fenomena yang tidak sihat menurut Islam.
Dan jika seseorang
hanya tahu statusnya sebagai anak angkat hanya ketika ia telah dewasa, maka
bermula dari ia sedar..semua batasan aurat mesti dijaga sebagaimana yang di
tuntut oleh Islam kepada lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
3. Bapa susuan tidak
boleh menjadi wali kepada anak susuannya.
782. Soalan : Jika
seseorang itu mempunyai anak angkat yg diambil dan berdaftar atau anak angkat
daripada anak kawan atau anak orang lain. Persoalannya,,dijaga dan dipelihara
sejak kecil sehingga ibu atau bapa angkat meninggal dunia.. Soalan saya adakah
doa anak angkatnya sampai kepada simati sebagai doa anak yg soleh..? Minta
penjelasan saya kurang arif.
Jawapan :
Anak angkat
kedudukannya di dalam Islam :
1. Bapa angkat tidak
boleh bin atau bintikan anak angkat tersebut atas namanya.
2. Anak angkat tidak
boleh mewarisi harta pusaka ibu bapa angkatnya.
3. Anak angkat bukan
mahram terhadap anak-anak kandung si bapa angkat. Apabila anak angkat sudah
baligh jika dia perempuan auratnya perlu di jaga supaya tidak dilihat oleh bapa
angkat atau anak-anak lelaki bapa angkat tersebut.
4. Bapa angkat tidak
boleh menjadi wali nikah terhadap anak angkat yang perempuan semasa hendak
diijab kabulkan, ketika ini perlu cari wali sebenar anak angkat tersebut, jika
tidak bertemu maka dia akan di nikahkan dengan wali hakim.
Walau pun anak angkat
tidak ada hak waris tetapi bapa angkat yg berharta boleh membuat wasiat
terhadap anak angkatnya tetapi tak boleh melebihi 1/3 jumlah harta keseluruhan
simati.
Doa anak angkat yg
soleh terhadap ibu bapa angkatnya yang telah meniggal dunia juga mustajab di
sisi Allah SWT walau pun darjatnya tidak sama seperti anak kandung simati.
Kedudukan anak angkat dengan ibu bapa kandung yang sebenar tetap berjalan
seperti biasa walau pun dia dibela oleh orang lain. Dia masih boleh mendoakan
ibu bapa kandungnya yang telah meninggal dunia.
Ibu dan bapa angkat
tetap mendapat pahala apabila anak angkatnya menjadi anak yg soleh kerana jasa
ibu dan bapa angkat membelanya, memberikan ilmu yg bermanfaat dan memberi
nafkah kepadanya sehingga dia menjadi insan beriman dan bertakwa.
783. Soalan : Apabila
telah berlaku perceraian di antara suami dan isteri. Mereka mempunyai dua orang
anak yang masih kecil. Hak penjagaan kanak-kanak tersebut telah diberikan oleh
mahkamah kepada pihak ibu kanak-kanak tersebut. Tetapi bekas suami boleh
menziarahi atau membawa kanak-kanak tersebut di hujung minggu. Saya ingin tahu
bagaimana batas perhubungan bekas suami dan isteri tersebut semasa mereka
menguruskan anak-anak mereka dan adakah bapa kanak-kanak tersebut wajib
memberikan nafkah kepada anak-anak mereka?
Jawapan :
Perlu diingat apabila
telah berlaku perceraian dan telah habis iddah maka mereka telah hilang hak
sebagai suami dan isteri. Jika mereka hendak kembali setelah habis iddah maka
mereka perlu bernikah semula. Oleh itu mereka perlu jaga batas-batas pergaulan
dan tidak boleh berjumpa berdua-duaan tanpa ada mahram. Bekas suami tidak boleh
masuk kerumah bekas isterinya walau pun dengan niat mereka hendak jumpa
anak-anaknya.
Sebaik-baiknya jika
bekas suami telah berkahwin maka semasa datang perlu bawa isterinya bersama
supaya tidak timbul fitnah atau jika bekas isteri telah bersuami maka perlu ada
suami wanita tersebut jika hendak berjumpa dengan anak-anaknya. Atau boleh di
lakukan oleh bekas suami membawa ibunya atau adik perempuannya semasa kunjungan
untuk mengambil atau menzaiarhi anak-anaknya.
Akhlak dan adab sopan
perlu dijaga dan bekas suami tidak boleh bebas bergurau senda dengan bekas
isterinya. Bekas suami wajib memberi nafkah kepada anak-anaknya sehingga
anak-anak tersebut dewasa dan telah hidup berdikari dan boleh mencari nafkah
untuk dirinya sendiri.
784. Soalan : Apakah
tanggungjawab anak lelaki setelah berkahwin terhadap kedua ibu bapanya dan
begitu juga tanggungjawab anak perempuan setelah dia berkahwin? Boleh ustaz
huraikan sedikit.
Jawapan :
Ramai dikalangan anak
lelaki yang telah berkahwin mengabaikan tanggungjawabnya kepada kedua ibu
bapanya. Mereka menyerahkan kepada kakak atau adik perempuan untuk menguruskan
ibu bapa mereka yang sudah uzur.
Perbuatan ini adalah
perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Perlu difahami bahawa perhubungan dan
tanggungjawab anak lelaki terhadap ibu bapanya tidak akan terputus walaupun ia
telah mendirikan rumahtangga. Sebaliknya anak perempuan apabila mereka
berkahwin sahaja maka tanggungjawabnya dibawah jagaan suaminya. Darisegi
tanggungjawab untuk menjaga dan memberi nafkah kepada ibu bapa untuk anak
perempuan terputus. Melainkan dengan izin dan reda suami anak-anak perempuan
atas kerelaannya boleh berkhidmat kepada kedua ibu bapanya.
Anak-anak lelaki tidak
boleh lepas tangan kerana mereka tetap akan berdosa jika mereka mengabaikan
kebajikan kedua ibu bapa mereka jika kedua ibu bapa mereka miskin dan perlu
kepada bantuan dan penjagaan.
Disini kami kemukakan
sebuah hadis yang agak panjang tentang sikap seorang anak lelaki yang melarang
bapanya mengambil sedikit hartanya yang terjadi pada zaman Rasulullah SAW.
Diriwayatkan dari
Jabir Ibnu Abdillah ia berkata bahawa seorang lelaki telah datang kepada
Rasulullah SAW lalu berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya ayahku telah
mengambil hartaku".
Kemudian Malaikat
Jibril pun turun kepada Rasulullah SAW dan berkata: "Allah Azza Wajalla
menyampaikan salam kepadamu. Apabila orang tua itu datang kepadamu maka
tanyalah kepadanya tentang sesuatu yang dikatakan dalam dirinya dan hanya di
dengar oleh telinga saja".
Tatkala orang tua itu
datang, Rasulullah SAW pun bertanya: "Mengapa anak lelakimu mengeluh
tentang sikapmu, dan apakah engkau ingin mengambil hartanya ?".
Orang tua itu pun
berkata: "Tanyalah kepada anak lelaki ku itu ya Rasulullah, apakah aku
menggunakannya bagi salah seorang ibu saudaranya atau bagi diriku".
Rasulullah SAW
berkata: "Janganlah ceritakan hal ini kepada kami, beritahulah aku tentang
sesuatu yang engkau ucapkan dalam dirimu dan hanya didengar oleh kedua
telingamu". (sesuai dengan perintah malaikat Jibril tadi)
Orang tua itu pun
berkata: "Demi Allah, ya Rasulullah, Allah SWT selalu menambah keyakinan
kami terhadap diri baginda. Aku telah mengucapkan sesuatu dalam diriku yang
hanya didengar oleh kedua telingaku".
Rasulullah SAW
bersabda: "Katakanlah agar saya dapat mendengarnya". Orang tua itu
pun berkata:
"Ku beri engkau
makan ketika masih bayi dan ku biayai engkau ketika dewasa.
Engkau minum dari rezeki
yang kuberikan kepadamu.
Bila engkau sakit di
waktu malam, aku tidak tidur dan gelisah semalaman kerana penyakitmu.
Seakan akulah yang
terkena penyakit itu bukannya engkau sehingga akhirnya aku menangis.
Diriku takut jika
engkau binasa. Supaya engkau tahu bahawa maut memiliki waktu tertentu.
Tatkala engkau menjadi
besar dan mencapai akhir usia, aku pun tidak mengharapkanmu.
Engkau balas aku
dengan kekerasan dan kebengisan, seakan-akan engkaulah pemberi kenikmatan dan
kurnia.
Jika engkau tidak
memelihara hak aku sebagai seorang bapa cukupah engkau lakukan seperti yang
dilakukan tetangga yang berdekatan.
Lalu engkau penuhi hak
tetangga terhadapku dan tidak kikir kepadaku dengan harta yang bukan
hartamu".
Ketika itu Rasulullah
SAW memegang leher baju anak lelaki tersebut dan berkata: "Engkau dan
hartamu milik ayahmu".
Berdasarkan riwayat di
atas jelaslah tanggungjawab anak lelaki masih di bebankan amanah untuk membantu
dan menguruskan keperluan kedua ibu bapanya dan tidak boleh bersikap sombong
dan angkuh terhadap kedua ibu bapanya. Anak perempuan pula jika ibu bapanya
memerlukan khidmatnya kerana sesuatu keperluan jika mendapat keizinan suami
boleh membantu keperluan kedua ibubapanya kerana besar pahala yang akan
diperolehi oleh suaminya kerana simpati dan prihatin terhadap kedua mertuanya,
785. Soalan : Bolehkan
ustaz jelaskan apakah ciri-ciri untuk menjadi isteri yang solehah?
Jawapan :
Suami mana akan
memandang ke belakang apabila isterinya sentiasa harum dan bersih. Malah, aroma
itu pasti memikat selera suami untuk sentiasa berada di samping isteri daripada
berborak bersama rakan di kedai kopi.
Berapa ramai isteri
yang memberikan senyuman manis, pandangan yang mesra dan lembut serta wajah
yang berseri-seri ketika mengiringi suami keluar rumah atau menyambut
kepulangannya di muka pintu.?
Rasululullah SAW
pernah bersabda bahawa isteri solehah ialah yang menggembirakan suaminya
apabila suami melihat kepadanya.
Sabda Rasulullah SAW.
dari Ibnu Abbas r.a maksudnya : "Maukah aku berikan kepadamu sebaik-baik
benda yang disimpan? Iaitu wanita yang solehah. Apabila suaminya melihat
kepadanya, gembiralah dia; apabila suaminya perintah akan dia, taatlah ia
padanya dan apabila suaminya meninggalkannya, ia akan memelihara nama baik suaminya."
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Dari hadis di atas
jelaslah kepada kita ukuran seorang isteri yang baik. Ia mampu melayani suami
sebaik mungkin dalam segala bidang; ketaatan yang tidak berbelah-bahagi asalkan
yang diredai Allah SWT dan boleh mengawal harta benda dan nama baik suaminya
ketika tidak ada di rumah.
Bayangkan suami yang
pulang dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat ditambah kesesakan
jalan raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum senyuman, wajah yang
dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki dan menyediakan
minuman untuk menghilangkan dahaga.
Memang sukar mencari
ciri-ciri wanita sedemikian kerana kebanyakan isteri terutama yang bekerja
terlalu terbawa-bawa perangai mereka di pejabat sehingga suami tidak diberi
perhatian. Akhirnya, suami jemu dan sengaja balik lewat ke rumah.
Layanan isteri kepada
suami tidak perlu kepada unsur kewangan. Sebagai ketua rumah tangga, suami
perlu menyediakan keperluan kepada isteri termasuk makan minum, pakaian, perhiasan
dan belanja isteri.
Jika perkara ini
dilaksanakan, apa alasan isteri untuk tidak memberi layanan kelas satu kepada
suami.?
Beruntung isteri yang
tahu melayan dan menghiburkan suami kerana selain mendapat kenikmatan, mereka
juga mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Bersabda Rasulullah
SAW: "Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita,
bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai
pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit daripada
golongan kamu yang dapat melakukannya."(Hadis Riwayat Al-Bazzar dan
Ath-Thabrani)
Rasulullah SAW
bersabda: “Apabila seorang wanita reda atas kehamilannya dari suaminya yang
sah, sesungguhnya ia telah mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan
mengerjakan ibadah-ibadah lainnya dijalan Allah; dan jika ia merasa berat,
letih atau lesu, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi,
betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila
anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu
mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana
anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba
sahaya kerana Allah.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)
Isteri yang sengaja
enggan melayan hajat suami di tempat tidur tanpa alasan yang menasabah akan
dilaknat malaikat kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.
Nabi SAW bersabda
maksudnya : "Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke
katilnya (iaitu untuk hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan
suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan mengutuknya hingga waktu
pagi."(Hadis Riwayat Bukhari)
Oleh itu, isteri perlu
faham, walau setinggi mana pangkat, kedudukan, harta dan darjat mereka, jangan
lupa memberi kasih sayang dan kemanjaan kepada suami. Senyuman, kemanjaan,
pakaian dan haruman dan ketaatan adalah senjata untuk memikat hati suami dan
menjamin kebahagiaan rumah tangga yang sedang dibena.
Walaupun kalian belum
sempurna dengan ciri-ciri isteri solehah, kalian perlu berusaha
bersungguh-sungguh untuk memenuhi kriteria ini dengan berdoa dan berazam untuk
mencapai tahap solehah yang akan meletakkan kalian menjadi perhiasan terbaik di
dunia seperti hadis Nabi SAW yang menyatakan sebaik-baik perhiasan
adalah wanita solehah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar