Minggu, 19 Juni 2016

Tunaikan 10 Persedian Sebelum Tiba Saat Kematian




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingg
a ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia akan merasai kematian tetapi tiada siapa pun di antara kita yang tahu bila saat kematian akan tiba. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu masa, tempat dan keadaan kita semasa nyawa akan keluar daripada tubuh badan.

Firman Allah SWT maksudnya : "Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan , dan kepada Kamilah kamu sekeliannya akan dikembalikan." (Surah al-Anbiya' ayat 35)

Bagaimana pun sebagai seorang hamba-Nya adalah lebih selamat sekiranya kita sentiasa mengingatkan diri yang satu hari kita akan pasti mati dan bersedia untuk meninggalkan dunia yang fana (tidak kekal) ini. Kematian tidak mengira usia, tidak memilih siapa kita dan tidak menghitungkan di mana kita berada, sekali pun berada di dalam benteng kukuh yang dianggap selamat.

Oleh kerana kita tidak tahu bila saat ajal akan tiba, maka hendaklah kita bersegera menunaikan amal ibadah yang ditetapkan oleh Allah SWT sebagai kewajipan terhadap kita dan bersungguh-sungguh menjauhi segala larangan-Nya. Apa sahaja yang kita lakukan di dunia ini pasti akan di hisab dan di adili di akhirat kelak.

Allah SWT memberi peringatan kepada sekelian manusia  dengan firman-Nya dalam surah al-Insyiqaq ayat 6 yang bermaksud : " Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang telah engkau usahakan itu (tercatat semuanya)."

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat 10  persediaan yang perlu kita laksanakan supaya dapat membantu kita semasa kita berada di alam barzakh :

Pertama : Sentiasa utamakan amalan fardu ain (jangan ditinggalkan) terutama solat , puasa dan zakat dan fardu kifayah dan fardu-fardu lainnya yang ditetapkan dalam sunnah-auliah dan sunah Rasulullah SAW.

Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah SAW  bersabda bermaksud: "Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya solat fardu sesuatu. Allah berfirman: 'Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat-solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada solat fardu. Demikianlah keadaan amalan lain." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Kedua : Sentiasa menjauhkan diri daripada berbuat yang merosakkan amal ibadah fardu tersebut , seperti melakukan perbuatan yang mengundang dosa.

Imam Abu Laits berkata; “Jauhilah diri daripada arak kerana ia mengandungi banyak keburukan iaitu orang yang minum arak akan menjadi seperti gila. Allah SWT akan menutup pintu langit kepada orang yang meminum arak dan amalannya serta doanya tidak akan diterima selama 40 hari. Orang yang minum arak akan dijauhi daripada rahmat Allah SWT dan dibenci oleh para malaikat.”

Jika seseorang jumpa bomoh solatnya tidak diterima selama 40 hari. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barang siapa yang mendatangi tukang tilik (bomoh) dan ditanya mengenai sesuatu maka tidak diterima solatnya selama 40 hari (Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Sentiasa bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT.

Allah SWT  berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :“Barangsiapa bertaubat kepada Allah sebelum matahari terbit dari barat, nescaya Allah akan menerima taubat orang tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim)

Keempat : Bersegera memohon kemaafan daripada orang yang telah kita lakukan kesalahan.

Dalam hadis yang lain dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a., bahawa Nabi SAW bersabda: "Tidak ada seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan aniaya terhadap orang lain di dunia dengan tidak menyerah dirinya kepada orang itu untuk membalasnya, nescaya Tuhan akan menyerahkannya kepada orang itu supaya membalasnya pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Kelima : Mewasiatkan kepada ahli keluarga tentang iman dan Islam, halal dan haram dan berpegang teguh dengannya.

Jangan jemu setiap hari memberi nasihat dan tarbiah kepada isteri dan anak-anak dan didik mereka dengan didikan Islam dan ajarkan fardu ain mengenai hukum hakam supaya mereka tahu halal dan haram dan ajarkan mereka akhlak yang mulia di ajarkan oleh Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman yang bermaksud,"Wahai orang-orang yang beriman. Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka, di mana bahan-bahan bakarannya itu ialah manusia dan batu (berhala)" (Surah At-Tahrim ayat 6)

Keenam : Memperbanyakkan amal jariah, bersedekah,  amalan-amalan sunat dan banyakkan berniat untuk melakukan kebaikan walaupun belum mampu melaksanakannya.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : “Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (Su’ul Khatimah).” (Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Nabi SAW  bersabda: ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.' "

Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW .bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketujuh : Mengajarkan atau menyebarkan ilmu yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud, " Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat".(Hadis Riwayat Bukhari)

Setiap kalimah, pengajaran, ilmu, risalah, nasihat yang kita ambil daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW adalah merupakan ilmu-ilmu yang bermanfaat yang akan dapat menambahkan pahala dan amal soleh ketika kita hidup di dunia ini. Penulisan di facebook dan blog dan 'share' bahan-bahan tazkirah yang baik juga di kira sebagai ilmu yang bermanfaat.

Kelapan : Mendidik anak-anak agar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Untuk mendidik anak-anak yang soleh dan solehah  adalah dengan banyak melakukan amalan yang terpuji, berusaha untuk meninggalkan dosa-dosa yang kecil apakah lagi dosa-dosa besar. Jangan tinggalkan amalan yang wajib, jalinkan siraturrahim dengan sanak keluarga dan mengajar anak-anak menghormati kedua ibu bapa, sebab keredaan Allah itu tergantung kepada kerdaan ibu bapa terhadap anak-anak . Namun yang paling penting ajarkan anak-anak gadis supaya menutup aurat agar kehidupan mendapat keberkahan daripada Allah SWT.

Kesembilan : Selesaikan semua hutang-hutang di dunia ini kerana roh si mati akan tergantung di antara langit dan bumi jika tidak dibayar hutang-hutangnya sesama manusia.

Di riwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: "Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan."

Kesepuluh : Jangan syirik kepada Allah SWT, seperti mempertikaikan hukum hudud dan hukum-hukum Allah SWT yang lain, tinggalkan fitnah dan mengumpat dan jangan percaya jika ada orang menuduh seseorang berzina atau liwath tanpa bawa 4 orang saksi. Sentiasa berbaik sangka kepada Allah SWT dan jangan pertikai qada dan qadarNya. Sentiasa bersabar dengan dugaan hidup dan sentiasa bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama beramal dan membuat persiapan sebaik mungkin sebelum bertemu saat kematian. Jika kita melihat disekeliling kita kematian itu berlaku kepada ibu dan ayah , abang ipar, anak, anak saudara, sahabat-sahabat, suami, isteri dan lain-lain. Pernah berlaku semalam kita baru bersembang dengan sahabat kita , tiba-tiba dapat berita hari ini sahabat kita itu telah meninggal dunia disebabkan sakit jantung. Inilah yang dinamakan 'kiamat kecil' yang akan berlaku dahulu sebelum kiamat besar. Oleh itu cuba renungkan hadis Nabi SAW  di bawah ini sebagai iktibar kepada kita semua.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Orang yang cerdik ialah orang yang selalu menjaga dirinya dan beramal untuk bekalan sesudah mati." (Hadis Riwayat Tirmidzi daripada Abu Ya'la Syaddad r.a)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar